Sunday, September 5, 2010

Makanan Segera Sebagai Gaya Hidup?





Gaya hidup sihat bolehlah ditakrifkan sebagai satu amalan kehidupan yang membawa impak positif kepada diri seseorang, keluarganya dan masyarakat. Antara contoh kehidupan yang sihat ialah individu tersebut hidup dengan penuh ceria tanpa mengalami sebarang masalah yang boleh menjejaskan kehidupannya untuk satu tempoh tertentu pula. Sudah pasti dalam kehidupan era moden yang begitu banyak tekanan ini gaya hidup sihat menjadi satu matlamat yang perlu dicapai segera. Oleh itu, terdapat pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Tindakan awal ialah seseorang itu perlu bermula dengan pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang dalam kehidupannya.Tetapi adakah kita sedar bahawa makanan segera kini telah menjadi gaya hidup bukan sahaja rakyat di Malaysia, malahan di seluruh dunia.

Apakah makanan proses atau makanan segera ini? Ia adalah makanan yang boleh dimakan terus tanpa perlu memasaknya terlebih dahulu. la mungkin makanan dalam tin, makanan berasaskan corak pemakanan barat seperti burger dan hot dog, makanan sejuk beku dan sebagainya. Keperluan kepada makanan segera begini semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa.

Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan. Lagipun makanan segera begini cukup mudah untuk diperoleh . Kunjungi sahaja mana-mana kedai ‘fast food’, pesan makanan yang anda gemari dan tidak sampai lima minit hidangan akan sampai terus ke meja anda.

Bagi makanan dalam tin atau sejuk beku pula, orang ramai boleh membelinya secara pukal di pasaraya. Jika tiada masa, makanan itu dibuka dan dimakan terus atau dipanaskan sekejap dalam masa tidak sampai dua minit, makanan boleh terus dijamah. Berbeza dengan cara biasa yang selalu dilakukan, kita mengambil masa tidak kurang setengah jam untuk mulai menanak nasi, menumbuk sambal dan menggoreng ikan.


Jadi, peranan pihak kerajaan adalah cukup penting yang mana kementerian kesihatan harus mengusulkan larangan atau menghadkan iklan makanan tidak sihat  kepada kementerian penerangan. Langkah bijak ini perlu dilaksanakan segera agar dapat membantu masyarakat terutama kanak-kanak mengamalkan gaya hidup sihat. Pihak media jangan hanya meletakkan keuntungan sebagai prioriti, tetapi kesedaran dan pengetahuan yang perlu dijana kepada pengguna dalam soal diet dan pemakanan.

Slogan “Pengguna Bijak Faedahnya Banyak” seharusnya ditanam dalam diri masyarakat di Malaysia terutamanya kanak-kanak agar segala tingkah laku mereka menjurus ke arah pemakanan, diet, perbelanjaan yang sihat. Kanak-kanak adalah ibarat kain putih yang bersih dimana ibu bapa seharusnya memainkan peranan mencorakkan gaya hidup mereka ke arah pengguna bijak. Masyarakat perlu sedar bahawa kuasa beli ditangan mereka. Lantaran daripada itu peranan ibu bapa adalah paling penting untuk memastikan pengaruh iklan dan pemasaran makanan yang tidak berkhasiat dapat dibendung.

No comments:

Post a Comment